Jangan Berpacaran Dengan Perempuan Yang Suka Mengembara

5th September, 2018

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Kulitnya berbelang kerana asyik berada di bawah pancaran matahari. Rambutnya kering, tak terurus kerana dia tak berkesempatan untuk bersyampu. Mana taknya, di waktu pagi dia bergegas nak mengejar bas/tren ke destinasi seterusnya. Malamnya pula dia sudah kepenatan sampai nak mandi pun tak larat. Nampak katil terus lena.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Perempuan yang kau lihat sekarang mungkin akan berubah saiz badannya. Sekejap dia jadi gemuk, sekejap dia jadi kurus. Dia jadi gemuk kerana dia teruja dengan keunikan makanan di tempat orang sampai semua pun dia nak makan. Jangan salahkan dia andai nafsu makannya rakus. Dia berpegang kepada prinsip “Bila di negara orang, makanlah makanan tempatan”. Tapi kadang kau akan nampak badannya mengecil, kurus. Dia terpaksa mengikat perut kerana duitnya hampir habis walhal pengembaraannya di tempat orang masih panjang. Makan pun sekali sehari sahaja.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara, Dia seorang insan yang lemah; sering tewas dengan promosi jualan tiket penerbangan. Tiap kali ada promosi, dia akan berjaga malam dan terpacak depan skrin komputer untuk tunggu promosi bermula. Segala panggilan dan mesej kau tak akan dilayan selagi dia tak dapat beli tiket ke destinasi yang dia nak.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Tiap kali kau berjumpa, dia akan bercerita mengenai pengembaraanya yang lepas dan akan datang. Bila sampai giliran kau untuk bercerita terutama mengenai negara yang dia suka atau tempat yang dia pernah dengar, dia akan mencelah sampai kau tak berkesempatan untuk menghabiskan cerita kau.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Dia tak boleh duduk diam. Ada saja tempat baru atau pengalaman luar biasa yang dia nak cuba dan dia akan tarik kau untuk ikut serta. Jiwanya begitu bebas dan sukar untuk dijinakkan. Dia dahagakan pengalaman dan pengembaraan baharu. Dia tak peduli dengan hadiah mewah yang kau berikan. Tak ada beg tangan mahal, baju berjenama dan kasut baru yang dapat memikat hatinya selain daripada kesudian kau untuk mengembara bersamanya.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Dia amat berkira dalam berbelanja. Kau panggil lah dia kedekut sekalipun, dia tak kisah. Dia tengok wayang pun mungkin tiga kali sahaja setahun. Apatah lagi nak bershopping. Dia tak perlu beli baju dan kasut baharu setiap bulan. Dia akan pakai apa yang dia ada selagi boleh pakai. Bajunya dipakai berulang-ulang sampai kau akan rasa bosan. Dia jarang makan di restoran mewah. Cukuplah hanya makan di warung tepi jalan atau kedai mamak. Bajet makannya tak lebih RM10 sehari. Dia begitu gigih untuk menyimpan duit demi menampung pengembaraannya. Duitnya lebih rela dihabiskan untuk menjejak kaki ke sesebuah negara baru.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Dia mungkin seorang yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap atau sedang menggangur. Atau mungkin dia sedang berusaha untuk meninggalkan pekerjaan yang dia tak suka. Dia sedang mengumpul duit untuk pengembaraannya yang akan datang. Dia tak akan bekerja keras demi impian orang lain. Dia hanya akan bekerja keras untuk impiannya semata. Kau boleh cakap dia hanya pentingkan diri sendiri. Tapi itulah diri dia yang sebenar. Itulah impiannya sejak dari kecil lagi. Dia tak perlu duit yang banyak. Cukup sekadar untuk hidup. Tak perlu kau nak bagi kuliah tentang kepentingan duit untuk masa depan. Dia akan lalui hidup ini sehari demi sehari.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Ya, dia mungkin berpelajaran, mungkin mempunyai ijazah, mungkin seorang doktor falsafah. Tetapi semua itu tak memberi kepuasan kepada dirinya. Bekerja di dalam keselesaan pejabat dan bergaji besar bukan keutamaan baginya. Dah lama dia tinggalkan dunia tersebut. Dia sekarang berada di Australia bekerja sebagai pemetik buah epal. Atau di New Zealand bekerja sebagai seorang pengembala kambing. Mungkin dia berada di London bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hostel belia. Pendapatannya tidak tetap, hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi dia bahagia, dia puas.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Kau berdua mungkin tak mempunyai masa depan bersama. Hidupnya bagaikan seorang nomad. Sekejap di tempat ini, sekejap di tempat itu. Dia begitu dahagakan kebebasan. “Mengikat” nya hanya akan timbulkan perbalahan dan perpecahan di antara kau berdua.

Jangan berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara. Kemungkinan besar dia seorang yang berdikari. Dia tak perlukan kau sepanjang waktu. Dia tak perlukan kau untuk menjaganya. Dia tak perlukan kau untuk menemaninya ke mana sahaja. Dia pandai jaga diri. Kalau kau tak sudi mengembara bersamanya, dia tak kisah langsung. Dia boleh pergi sendiri. Dan bila dia pergi seorang diri, mungkin kau langsung takkan dengar khabar darinya. Dia takkan hubungi kau selagi dia tak ada keinginan untuk berhubung. Dia tengah sibuk bersosial dengan teman-teman baru yang dia kenal di hostelnya atau di tepi jalan. Teman-teman baru yang berkongsi minat yang sama. Dia lebih teruja untuk berkomunikasi dengan mereka daripada berkomunikasi dengan kau. Baginya, mereka mempunyai banyak persamaan dengan dirinya – musafir di tempat orang dan lebih memahami apa yang dia lalui.

Janganlah kau berpacaran dengan perempuan yang suka mengembara melainkan kau boleh terima dia seadanya. Janganlah kau ubah dirinya atau memaksanya untuk berubah. Janganlah kau berhenti menyokong impiannya. Kadang dia perlukan kau untuk pastikan dia masih berpijak di bumi yang nyata di saat dia alpa. Dan kalau kau telah jatuh cinta dengannya, jangan sesekali kau masukkan dia ke dalam sangkarmu, biarkan dia terbang bebas seperti seekor burung helang.

 

One thought on “Jangan Berpacaran Dengan Perempuan Yang Suka Mengembara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s