Konichiwa! Jepun Untuk Kali Ke-7

16th February, 2024

Aku rasa dah boleh dah tukar nama blog dari thetravellingsarawakian ke I-Only-Travel-To-Japan-And-Nowhere-Else. Teehee. Bukan apa. Aku suka ke Jepun sebab dia negara yang tak complicated, negara moden, pengangkutan awam senang, flight pun still murah, belanja kat sana mahal pun tak sangat (affordable lah) dan tiap kali pergi, memang akan ada benda/tempat baru untuk ditengok dan dilawati. Memang kau takkan rasa bosan. Aku gerenti!

Macam biasa aku pilih bulan Januari untuk ke Jepun sebab travel di bulan pertama ibarat “mukadimah” bagi aku. Fikir2 mana lagi yang aku nak pergi. Tengok flight ke Osaka murah jadi ke Osaka lah kita! Rasa ni dah kali ketiga aku ke Osaka tapi aku tak nak explore sangat Osaka tapi lebih kepada nak explore tempat2 yang boleh day trip dari Osaka. Kiranya aku jadikan Osaka sebagai base aku dan akan bergerak ke bandar2 lain dengan menggunakan Shinkansen atau Bullet Train.

Bulan Januari masih musim sejuk di Osaka dan Jepun secara amnya tapi Osaka tak dilanda salji. Kalau keluar dari Osaka, yes ada salji sepertimana yang aku lalui sepanjang seminggu di Jepun. Bukan salji biasa tapi ribut salji! Sebelum aku pergi dah macam2 berlaku di Tokyo khususnya – gempa bumi, ribut salji sampai banyak flight kena cancel, airport tutup gara2 ada 2 insiden perlanggaran kapal terbang sampai kes pertama kapal terbang terbakar dan meragut 5 nyawa. Tapi semuanya baik2 saja sepanjang aku di Osaka dan sekitarnya. Osaka ada lah terkena tempias ribut salji dari bandar lain yang membuatkan Osaka sejuk lain macam!

Anyway, aku sampai di Osaka dalam pukul 2.30 petang dengan menaiki Philippines Airlines (macam biasa) dan macam biasa aku impressed dengan servis yang diberikan. Bagi aku harga flight berbaloi, selesa, entertainment on point, kenyang dan seat luas. Memandangkan hari dah petang dan gelap awal, aku terus check in di Backpackers Hostel Toyo. Kali ni aku tak splurge. Aku amek Japanese style tatami room without attached bathroom and aircond/heater; semalam dalam RM52. Masa booking aku terlepas pandang yang bilik tu takda aircond/heater. Jadinya memang sejuk lah bilik tu tapi nasib baik ada selimut bulu itik dan electric feet warmer jadi boleh lah tidur dengan nyenyak. Dekat hostel aku ada Mega Don Quijote dan petang tu jugak aku kena rasuk untuk shopping. Tapi dah ni hari pertama aku survey2 harga dulu sebelum beli. Nak tengok apa yang nak dibeli dan nak banding dengan tempat lain.

Day 1 tak ke mana sangat cuma ke HEP FIVE (Namco Bandai Store nak main gashapon) dan ke Dotonbori Street untuk cari makanan. Memandangkan hari tu hari Ahad, Dotonbori tu dah macam lautan manusia. Nak beli makanan kena beratur panjang dan sampai ada yang dah sold out. Macam biasa aku beli Takoyaki dan 10-yen cheese bread (yang macam kat Myeongdeong).

Kedai Namco Bandai kat Osaka ni tak best macam kat Fukuoka sebab machine dia tak banyak & tak best. Macam semadi nadai (Iban for asal ada).

Hari pun dah lewat jadinya aku balik ke hostel tapi sebelum tu kena lah singgah di Donki. Petang tadi dah survey2 sekarang tiba masanya untuk membeli! Tak lain tak bukan aku akan cari matcha powder, chocolates, sun block , pencuci muka, scrub dan macam2 lagi. Aku dah lah penat, tak tido semalaman, pastu layout Donki ni macam sempit & susah cari jalan keluar sebab diorang tak nak kau balik. Donki kat Lot 10 pun konsep yang sama. Rasa nak nangis & lepas shopping terus balik hostel terbongkang atas lantai.

Aku dah beli JR Kansai Wide 5-day Pass jadinya day 2 aku ke Kobe. Sebelum ni aku pernah sampai tapi tak explore sangat. Lokasi pertama ialah Ikuta Jinja iaitu Shinto shrine yang terletak di tengah bandar; kecik saja tempatnya pusing2 15 minit setel. It’s a typical Japanese shrine with Torii gates all around, rocks for prayers, intricate prayer hall.

Lokasi kedua Sorakuen iaitu Japanese Zen Garden. Garden ni unik sebab ada bangunan konsep Eropah sebab dulu tempat ni milik seorang ahli perniagaan Inggeris/India-  Mr. J.K. Hassam. Sorakuen ni tak besar dan cantik tapi tak secantik Kenrokuen di Kanazawa. Dia macam ala2 Rakusuien di Fukuoka.

Dah puas healing aku ke Nankinmachi atau Kobe Chinatown. Sini macam Petaling Street, kiri kanan tanglung, Chinese food, orang2 Cina. Sini takda benda yang boleh dimakan ya. Banyak ke arah pork2. Harap maklum. Rata2 jual makanan yang sama, tak macam Dotonbori pelbagai.

Lepas tu aku menapak jauh ke Meriken Park yang terletak tepi laut. Sini landmark famous ialah sign Be Kobe dan Kobe Port Tower. Tempat dia besar ada dataran (ala2 waterfront di Kuching), ada navy museum dan boleh lepak sambil menghirup udara laut.  Nama Meriken diambil dari nama America sebab dia terletak berdekatan dengan Konsulat US. Hari aku pergi tu muzium tutup (Isnin tutup) so tak dapat lah masuk.

Dan destinasi terakhir aku di Kobe dan tempat yang aku nak sangat2 pergi ialah Tetsujin 28-go Statue atau Gigantor (nama glamer kat US).

Sebelum ni dah tengok Giant Gundam di serata Jepun kali ni nak tengok robot lain pula. Pelukis komik Tetsujin 28-go iaitu Mitsuteru Yokoyama berasal dari Kobe dan jadi simbol untuk warga Kobe. Sejarah terbinanya robot ni di Kobe ialah sebagai pelindung bandar Kobe dari serangan gempa bumi. Tapi malangnya robot pun tak dapat nak menghalang kuasa Tuhan sebab Kobe masih juga dilanda gempa bumi. Robot ini menjadi sumber kekuatan dan inspirasi untuk warga Kobe bangkit semula dari kehancuran yang melanda. Begitu lah dia sedikit sebanyak cerita di sebalik robot gergasi ini.

Day 3 ke Okayama, bandar yang aku belum pernah jejak kaki. Perjalanan dari Osaka ke Okayama dengan Shinkansen dalam 1.5 jam. Cuaca mendung dan sangat sejuk, lagi sejuk dari Osaka. Destinasi pertama ialah Okayama Castle.

Castle ni unik sebab dia warna hitam. Ingat lagi masa aku ke Matsumoto Castle, aku kagum tengok warna hitam sebab kebanyakan castle di Jepun berwarna putih. Okayama castle kecik lagi berbanding Matsumoto Castle; ada 6 tingkat tak silap tapi setiap tingkat tu tak luas. Ada pelbagai pameran barang2 shogun dan perang. Tapi satu sahaja slack kalau pergi tempat yang tak berapa menjadi tumpuan pelancong; setiap papan tanda atau cerita asal usul takda dalam Bahasa Inggeris, lebih kepada Bahasa Jepun. But it’s okay, tengok2 ja lah. Dan kat sini jugak aku belajar sesuatu yang baru. Tahukah anda tinggi Shogun (ketua tentera) cuma 155cm? Rendah kan!

Okayama Castle terletak bersebelahan dengan Korakuen – one of the most beautiful gardens in Japan. Di sini jugak turunnya salji renyai2. Korakuen ni besar nak mampus dan banyak terdapat tanaman seperti pelbagai jenis bunga, pokok buluh dan padi. Yes padi! Tapi sekarang musim sejuk kan jadi tanamannya nan hado! Kalau musim padi ada buat pesta menuai. I bet it’s amazing in springtime! Sini ada banyak itik – warna hitam jugak bersempena Okayama Castle. Hehe.

Satu benda yang aku sangat excited nak naik sejak aku dapat tahu kewujudannya ialah jeng jeng jeng – Hello Kitty Shinkansen! Sanggup beb beli tiket harga RM86 untuk perjalanan 15 minit semata-mata nak naik. Aku punya JR Wide Pass tak valid tapi kalau kau ada JR Rail Pass, free. Hanya ada 2 train sehari iaitu untuk pergi dan balik. Jadi kau kena pastikan timing cun sebelum naik. Perjalanan 15 minit aku dari Okayama ke Shin Kurashiki. Exterior dan interior dia memang full Hello Kiity lagi2 untuk Green Car (seat mahal). Aku yang bukan peminat Hello Kitty ni pun teruja apatah lagi untuk yang obsess dengan Hello Kitty.

Dalam train tu boleh jalan dari satu coach ke coach yang lain sebab design dia lain2. Dekat coach hujung sekali ada café merangkap kedai souvenir. Coach kedua hujung (Green Car) warna purple, pink, seat Hello Kitty, carpet Hello Kitty & ada patung Hello Kitty kalau nak bergambar. Untuk Ordinary Car (Economy) seat dia biasa ja warna kelabu takda Hello Kitty. Aku tak sempat duduk pun, banyak explore lagipun perjalanan 15 minit Sahaja. Kalau kau minat denim atau jeans, Kurashiki ialah tempat lahirnya industry jeans di Jepun. Ada satu tempat yang memang khas untuk peminat denim iaitu Denim Street.

Sampai Kurashiki salji turun dengan lebat sampai train pun delay. Kurashiki ni sebenarnya lagi cantik kalau datang waktu summer atau spring. Sebab main attraction dia ialah canal. Ala2 di Venice duduk atas sampan kayu menikmati keindahan sepanjang canal. Tapi musim sejuk sampan tak bergerak sebab tak ramai pelancong.

Kedai2 pun banyak tak bukak. Area Okayama/Kurashiki terkenal dengan buah peach & anggur muscat. Aku nak merasa sebenarnya tapi dah kedai tak bukak, kecewa lah jadinya. This is the downside to travelling in low season. Sebelum balik aku singgah di Achi Jinja yang terletak di atas bukit. Pastikan stamina kuat sebab kena naik tangga yang tinggi macam takda penghujung!

Lewat petang balik ke Osaka dan aku ke Honolulu Ramen untuk dinner. Ini rasanya cawangan kedua. Aku pernah ke Honolulu Ramen di Ebisu, Tokyo. Kedai milik adik beradik, sorang di Tokyo, sorang di Osaka. Rasanya tetap sama, kuah ramen pekat, gyoza sedap cuma agak mahal lah kalau nak dibandingkan dengan kedai ramen yang non halal.

Day 4 juga ke tempat yang aku belum pernah pergi iaitu Koyasan atau Mount Koya. Ni hari yang paling ditunggu-tunggu sebab dalam website tempat dia nampak sangat magnificent. Koyasan ialah pusat Shingon Buddhism. Kalau kau penganut Buddha, kau boleh bertapa dan bermalam di sini bersama sami2, mcm pilgrimage la. Mcm org Islam pergi Mekah, orang Yahudi pergi Jerusalem, orang Catholic pergi Vatican, lebih kurang la. Tempat tidur dan makan disediakan (berbayar macam hotel). Perjalanan panjang dari Osaka ke Koyasan dalam 3 jam; mula2 naik train lepas tu naik cable car sebab Koyasan terletak 867m dari paras laut, dan akhir sekali naik bas untuk ke pusat bandar (Senjuinbashi). Sepanjang perjalanan salji turun dan sampai ja di Koyasan ribut salji melanda. Sejuk gila sampai aku dah menggigil dan gigi ketap2! Koyasan ni memang kena berjalan sebab bas tak lalu sebab tempat2 menarik within walking distance. Kalau hari bagus, takda masalah berjalan tapi bila dah ribut salji ni, 5 minit berjalan dah jadi 20 minit dengan salji paras buku lali. Destinasi pertama aku ialah Kongobuji, temple yang dibina oleh Toyotomi Hideyoshi sempena mengingati kematian ibunya. Memang nampak sangat magnificent and magical bila salji menutupi luaran temple. Mcm fairytale!

Temple ni agak besar dengan pelbagai bilik dan semestinya payah nak jumpa explanation atau sejarah dalam Bahasa Inggeris. Dlm salah sebuah bilik tu Toyotomi telah membunuh diri. Kat temple di jugak ada Banryutei Rock Garden, tapi telah ditutupi oleh salji tebal jadi tak berapa nak nampak. Garden ni ialah yang terbesar di Jepun.

Dari Kongobuji aku menempuh jalan yang penuh berliku ke Tokugawa Mausoleum milik keluarga Tokugawa. Terdapat tiga bangunan di sini yang nampak hampir serupa. Takda apa sangat pun di sini; lebih kurang macam Makam Mahsuri di Langkawi. It’s to pay respect.

Salji makin lebat, aku gagahi jugak untuk ke Danjo Garan Temple Complex. Tempat ni sangat2 besar dan terbahagi kepada beberapa landmark seperti Kodo Hall, Konpon Daito Pagoda, Koya Myojin Shrine. Keseluruhan ada dalam 20 struktur. Pagoda oren merah tu nampak sangat wow berlatarbelakangkan salji putih! Suasana sini sangat sunyi sepi, masa aku sampai hanya aku seorang ja pelancong. Ada lah 2,3 sami keluar masuk complex tu.

Ribut salji makin lebat, dah la takda tempat berteduh. Aku dah hampir beku, jadinya aku buat keputusan untuk cari café yang terdekat untuk memanaskan diri. Tapi hampeh, sampai ja café ada 1 ja portable heater, tu pun di conquer oleh sorang mamat ni. Janji dapat berteduh sementara tunggu bas datang. Satu ja tempat yang aku tak dapat pergi iaitu Okunoin atau kubur Buddhism paling besar di Jepun (lebih kurang 200 ribu kubur) sebab salji makin lebat dan perjalanan ke sana naik bas dlm 30 minit dan kena jalan kaki pula lebih kurang 2km. Kalau hari bagus 2km dalam setengah jam sampai, tapi kalau dah ribut salji agak2 berapa jam? Dah la bas pun tak kerap; 1 bas dalam 2-3 jam baru ada. Dengan takda bus stop untuk berteduh. Aku amek keputusan untuk tidak pergi ke Okunoin; there will be a next time! Dah la train delay gara2 ribut, sampai Osaka lewat petang.

Day 5 ke Uji, pun tak pernah pergi. Dekat ja dengan Osaka dalam 1 jam naik train. Uji ni tempat famous matcha. Kalau kat Sabah ada Sabah Tea, kat Cameron ada Cameron Tea, kat Uji ada Uji Matcha. Green tea dan matcha dari Uji sangat terkenal di Jepun dan serata dunia kerana kualitinya. Apa beza green tea & matcha? Tanaman yang sama cuma cara tuaian & pemprosesan lain. Matcha warna hijaunya terang & cantik manakala green tea ada gelap sikit sebab green tea ditanam & dipetik di luar manakala matcha dilindung dari cahaya matahari sebelum dipetik. Sebab tu matcha lebih pekat & ada tinggal serdak kat bawah cawan kalau dibandingkan dengan green tea yang mudah larut. Kat Uji ni kalau nak beli produk matcha atau berasaskan matcha mcm coklat, biskut ada murah sikit berbanding bandar lain. Ada produk yang langsung tak jumpa kat bandar lain, eksklusif di Uji ja.

Uji di bagi aku ada vibe kuno/klasik/kampung sikit & agak romantic. I don’t know how else to describe it. The most famous temple in Uji is Byodoin Temple yang ada Phoenix Hall dengan patung Buddha. Personally, temple ni cantik walaupun tak besar sebab dia terletak atas air.

Kalau nak masuk Phoenix Hall kena bayar asing sebab dia ada sekali dengan 15 minit tour. Malangnya, tour nya dalam Bahasa Jepun jadi tengok2, angguk2 ja la. Dari Byodoin Temple aku merentasi salah satu jambatan yang terdapat di Uji ni untuk ke Ujigami Shrine and Koshoji Temple. Dua tempat ni kecil ja takda apa sangat cuma Koshoji Temple boleh explore interior & tengok garden dia. Masa kat sini, aku sorang ja makhluk yang ada. Orang reception pun takda, kena beli tiket dari mesin.

Dari sini aku merentas jambatan lagi tapi kali ni salah satu jambatan tertua di Jepun iaitu Ujibashi Bridge. Cuaca sejuk & sekali sekala turun salji.

Tempat terakhir ialah Mimurotoji Temple di mana kena berjalan 40 minit untuk sampai. Mimurotoji Temple ni sebenarnya cantik kalau datang pada musim bunga sebab ia terkenal sebagai Flower Temple sebab dikelilingi pokok2 bunga. Sebelah temple ni ada garden tapi musim sejuk nan hado lah bunganya.

Sebelum balik ke Osaka, aku singgah di salah sebuah Tea House untuk menikmati secawan Uji matcha. Uji matcha ni banyak gred; ada yang murah ada yang mahal, ada yang pahit ada yang light. Kalau minum matcha dia datang sekali dengan wagashi atau manisan. Aku minum yang light sebab risau overdose caffeine tak dapat tidur malam. Matcha dia rasa clean dan smooth. Kalau nak beli matcha powder yang premium grade, satu tin kecil sampai beratus ringgit!

Hari terakhir aku di Osaka bermula dengan breakfast di Kuromon Market iaitu market terbesar di Osaka. Dia ala2 Tsukiji market di Tokyo. Bermacam fresh seafood, sushi dijual. Aku pilih unagi (belut) & hotate (scallop) bakar. Harga setiap kedai sama ja cuma portion lain2. Takoyaki pun aku beli (ada 1 ja kedai jual Takoyaki) & strawberry mochi (tak sedap & besar macam Tsukiji Market).

Dari Kuromon Market aku berjalan ke Den Den Town. Kalau kau Otaku atau minat segala mak nenek manga, sila lah datang sini. Rata2 harga untuk figurines nampak reasonable. Ramai budak2 & bapak budak Jepun lepak & beli barang kat sini. Cuma takda lah cosplayer sini macam Harajuku. Den Den Town ni macam nak arwah dah sebab kedai banyak dah tutup & tak happening macam dulu2.

Tengah hari aku bergerak ke Universal City; tak ke Universal Studio pun cuma tengok dari luar sebab aku nak ke Hard Rock Café beli baju kiriman orang. Sejak ada vertigo ni aku tak dapat dah nak naik roller coaster atau ride yang berpusing-pusing. Hard Rock Café sekarang bukan macam dulu di mana design baju2 dia lawa; sekarang ni buruk betul design, dah la kualiti kain teruk. Harga tetap maintain. Ingat nak beli satu untuk diri sendiri tapi design takda yang memikat hati. Singgah kejap kat kedai Universal Studio. Dah pegang2, testing2 topi Super Mario tapi last2 tak beli pun sebab dah lari budgetnya. Next time lah datang lagi dengan duit berkepuk baru beli.

Setel balik hotel kejap rehat sebab petang ni excited nak ke Tsutenkaku Tower untuk cuba Tower Slider. Ni pun aku baru tau kewujudannnya. Pergi petang ingatkan tak ramai lah manusia, tapi sampai2 ja kena beratur sejam baru dpt main. Tower Slider ni gelongsor indoor takda lah mencabar, dalam 2 minit dah setel. Beratur bukan main lama tapi main nya sekejap. Aku dengan vertigo nya lepas main tu tingtong kejap. Nasib tak lama effect dia. Was it worth it? Boleh lah kalau nak try untuk pertama kali. Kali kedua, ketiga nope!

Malam tu aku lepak kat Dotonbori lagi untuk tengok Glico Man buat kali terakhir – for now. Untuk dinner aku nak try Matsuri, satu-satunya kedai halal yang ada jual Okonomiyaki & Takoyaki halal kat Osaka. Kedai ni macam payah sikit; dia bukak & tutup ikut suka hati dia sebab dia lah owner, dia lah waiter, dia lah chef. Beberapa malam sebelum ni aku ada datang, dlm Google tulis bukak tapi bila sampai “we are temporarily closed”. Baca review ada yang cakap ok, ada yang cakap teruk; 50-50. Aku gamble lah & order chicken ramen & okonomiyaki. Ramen dia ok cuma aku prefer yang kat Honoloulu Ramen walaupun harga dia murah sikit dari Honolulu. Okonomiyaki dia terlalu bersos & cair2 tapi isi (sotong, hotate) dia banyak. Aku bagi overall 3.5/5. Boleh lah nak buat rasa2.

Overall trip kali ni banyak ke tempat2 atau bandar2 baru yang aku tak pernah jejak. Semua boleh day trip dari Osaka. Area Kansai ni banyak jenis tourist pass yang ada; kena pandai2 pilih & sesuaikan ikut masa & itinerari korang. Macam mula2 research nak beli Kansai Thru Pass tapi pilih kira2 balik, better amek JR Wide Pass sebab dapat jimat masa & costing tak lari sangat. Banyak benda dapat jimat kalau beli pass, tiket entrance, tiket bus etc online sebelum pergi. It’s all up to you!

Till next trip, hopefully everyone is daijobu!

Leave a comment